SUNWAY PYRAMID
Salah satu daripada ciri-ciri rekabentuk yang paling mudah dicam ialah bentuk piramid berilhamkan Mesir purba dengan patung singa besar yang "menjaga" di pintu masuk. Keseluruhan bangunan dihiasi gaya monumen, dilengkapi dengan hieroglif palsu yang menghiasi muka bangunan, disertakan patung dan ukiran berupa firaun dan rakyat Mesir purba.
Sunway Pyramid juga merupakan antara sebilangan kecil pusat beli-belah di Malaysia yang dilengkapi padang luncur ais.
Sebuah bangunan fasa kedua dibina berdekatan bangunan asal pada pertengahan tahun 2007 untuk menempatkan peruncit baru seperti Jusco, Giant, Harvey Norman dan sebagainya. Di tingkat P-2 ada seksyen baru bernama Marrakesh. Tempat letak kereta diperluas kepada lapan tingkat.
Sunway Lagoon ialah sebuah taman hiburan di Petaling Jaya, Malaysia yang dibuka pada 29 April 1993. Sunway Lagoon terletak di Bandar Sunway, berjiran dengan pusat beli-belah Sunway Pyramid di utara, tempat penginapan Indah Villa di barat laut dan Sunway Hotel di timur laut. Pada mulanya, ia terdiri daripada taman air, taman ria dan taman haiwan, tetapi kemudian ditambah pula dengan taman seram dan taman aksi lasak.
Sunway Lagoon boleh dimasuki melalui laluan dari Sunway Pyramid atau Sunway Hotel. Pengunjung boleh membayar yuran asas untuk memasuki taman air, taman ria dan taman haiwan sahaja, atau yuran istimewa yang lebih mahal untuk ke dua taman lain iaitu Extreme Park dan Scream Park. Selepas membeli tiket, para pengunjung diberikan gelang tangan sebagai petanda kebenaran masuk.
TAMAN AIR
Taman air Sunway Lagoon (Water Park) terdiri daripada dua bahagian utama, iaitu Waters of Africa di kawasan utara dan Surf Beach di kawasan tengah. Waters of Africa bercirikan tiga jenis gelongsor air dalam kawasan bermotif Afrika, iaitu "Congo Challenge" (gelongsor lumba berlorong enam), "Cameroon Climb" (dua gelongsor ulang-alik), African Pythons (tiga batang tiub berliku), ketiga-tiganya dinaiki dari cenuram buatan di bahagian barat laut taman.
Selain itu, kawasan "Rain Fortress" dan "Kalahari Kids" yang dibuka pada tahun 2005, merupakan tempat bermain air khas untuk kanak-kanak yang terletak di timur kawasan tiga gelongsor air tersebut, tidak lupa juga kolam renang "Lake Kariba" yang terletak di bahagian timur laut taman, berhampiran tangga keluar masuk dari celah Sunway Hotel.
Di tengah-tengah taman air terletaknya "Surf Beach" (dahulunya "Jeffrey's Bay"), sebuah kawasan pantai buatan atas tasik yang dikhususkan untuk kegiatan luncur air dalam sempadan tertentu. Ombak buatan dihasilkan dari sebuah penjana gergasi dari latar gunung berapi buatan. Surf Beach dihebohkan sebagai "Pantai Luncur Air Tertutup Terbesar di Dunia" yang juga mempunyai "Penjana Ombak Terbesar di Dunia" Kegiatan luncur air terhad kepada kawasan berjubin biru muda yang ditutupi oleh dua batang jambatan konkrit yang menyambung kawasan daratan dengan gunung berapi; kawasan tasik yang selebihnya adalah kawasan larangan berenang. Selain meluncur air, tempat ini juga sesuai untuk berenang atau bermain air (di tepi pantai sahaja), ataupun mengadakan acara hiburan.
Yang terbaru, rasai keseronokkan yang tidak terhingga dengan mencuba dua permainan baru iaitu Vuvuzela ( Gelongsor air terbesar di dunia)dan Waterplex D pertama seumpamanya di dunia.
TAMAN RIA
Wild Wild West bermotif zaman kegemilangan Amerika Syarikat selatan abad ke-19, menampilkan tunggangan kering seperti "Buffalo Bill Coaster", "Chief Crazy Horse Carousel" dan "Butch Cassidy's Trail", ditambah lagi dengan tunggangan berair iaitu "Niagara Falls Flume Ride", "Colorado Splash", dan "Grand Canyon River Rapids".
World of Adventure pula hanya terdiri daripada tunggangan kering, seperti roda ferris "Wagon Wheel", roller-coaster "Lost City of Gold", karusel "Apache Pots" dan dua buah buaian gergasi 360 darjah "Tomahawk" dan "Pirate's Revenge", tidak lupa juga kawasan pameran "The Cave" yang terletaknya kawasan simpanan harimau iaitu "Tiger Adventure". Di situ juga adanya satu hujung jambatan gantung berukuran 428 meter (1,404 ka) yang menyeberangi seluruh tasik dari World of Adventure, melalui gunung berapi Surf Beach hingga kawasan Extreme Park di bahagian tenggara Sunway Lagoon.
EXTREME PARK
Diperkenalkan pada tahun 2008, Extreme Park terletak di tenggara Sunway Lagoon, dilengkapi oleh kemudahan ATV, litar lumba go kart, lapangan paintball, "wall climbing", "flying fox" dan "ice skating"
\
TAMAN HAIWAN
Di sepanjang barat tepi sunway lagoon ada sebuah Taman Haiwan Mini (Wildlife Park) yang menempatkan pelbagai jenis spesies burung untuk tatapan pengunjung. Taman Haiwan ini boleh dimasuki dari kawasan barat laut dan berhujung di sebuah ampliteater di barat daya yang digunakan untuk pertunjukkan haiwan dan acara hiburan pop.
.




No comments:
Post a Comment